Thursday, April 06, 2006

Rombongan Cik Kiah ke Bukit Tinggi.

Cik Kiah buat rombongan ke Bukit Tinggi???

Taklah. Bukan Cik Kiah yang pergi. Tetapi rombongan ke Bukit Tinggi memang ada.

Pada 17hb Mac baru-baru ni, saya berkesempatan berkunjung pulang ke 'kampung' saya di Bukit Tinggi, Sumatera Barat bersama 19 lagi ahli keluarga yang lain. Pemergian saya bersama suami, anak-anak, ibu dan ahli keluarga yang lain cukup bermakna. Pemergian kami ke sana sebenarnya bukan untuk bercuti tetapi lebih kepada menghadiri majlis perkahwinan saudara, anak kepada sepupu ibu, yang saya panggil pakcik Eddy. Sejak dulu lagi saya sering merancang hendak pulang, namun ada sahaja aral yang melintang. Dari arwah atok dan nenek saudara masih hidup sehinggalah mereka tiada, baru kini saya dapat menjejakkan diri pulang ke Kumpulan, sebuah daerah di Bukit Tinggi...., asal-usul keluarga saya sebelah mak ibu iaitu nenek saya sendiri.Oh ya, saya memang orang Minangkabau, dari daerah Kumpulan kaum Piliang. Kalau ikutkan cerita ibu, moyangnya merajuk dengan suaminya lantas membawa diri lari ke sini dengan menaiki sampan meredah Selat Melaka keseorangan ketika sedang berbadan dua. (Ketika mendengar, saya membayangkan diri jika saya yang mendayung sampan keseorangan..., alamak! Tak ada jerung ke? Hehehe!). Hasil dari pemergian saya ke sana, ada perkara yang saya tahu sedikit menjadikan lebih mengerti dengan mendalam. Dan juga perkara-perkara yang tak pernah tahu kini sudah tahu bila bertemu dengan sanak-saudara. Aduh...., memang pening kepala untuk memahami salasilah keluarga saya yang berasal dari sana. Namun, yang nyata, bila berada di kampung dan di kelilingi oleh mereka yang berasal dari 'induk' yang sama iaitu Mohd. Syarif Tuanku Sutan, ada sesuatu yang membuatkan terasa dekat di hati. Sukar hendak diungkapkan, mungkin juga inilah tanah nenek moyang kami yang sememangnya berasal dari sini. Sanak saudara dan keluarga begitu ramah dan tidak pernah penat melayani kedatangan kami dan sentiasa mesra dengan kami semua. Malah, ke mana-mana sahaja kami pergi, terasa saudara mara ada di mana-mana sahaja. Ketika badan diserang rashes pada hari pertama di sana, saya dan suami pergi ke rumah sakit dan kebetulan doktor yang merawat saya adalah saudara kami yang saya sendiri tidak pernah kenali iaitu Dr. Rubiyat Prohoemen. Mungkin kami pernah berjumpa satu ketika dulu ketika bapanya bertugas sebagai doktor pakar di HKL. Waktu itu saya berumur 5 tahun, malah nenek Rebeka iaitu ibu pada Dr. Rubi pernah melukis gambar-gambar itik untuk saya. (Oh! Kenangan saya bersama nenek Rebeka dan gambar itik yang dilukis untuk saya ketika saya masih kecil begitu segar dalam kotak ingatan saya sehingga kini).

Selama dua hari berada di sana, barulah kami berkesempatan ke rumah adik atok yang saya panggil atok Ali. Rumah atok Ali memang nyaman suasananya. Di belakang rumahnya ada air sungai yang mengalir deras dari bukit. Di sanalah kali pertama kami menatap gambar Bulan. Bukan bulan yang di langit itu, tetapi Bulan; moyang kepada saudara yang sedang bersanding waktu itu. Bulan adalah anak saudara kepada Bangso, moyang ibu yang melarikan diri ke sini yang saya ceritakan sebentar tadi. Bangso jugalah isteri kepada Mohd. Syarif Tuanku Sutan, 'induk' yg nyata bagi ranji kaum Piliang di bawah payung 'Dato Bandaro Sati'.

Kemudian kami sekeluarga dibawa ke rumah arwah nenek dan atok sedara..., nenek dan atok yang tidak pernah lekang dari ingatan saya apatah lagi setiapkali mereka berdua datang mengunjungi kami di sini, arwah sering menyuruh saya supaya pulang ke kampung di Kumpulan. Pusara mereka berdua ada di belakang rumah mereka sahaja. Saya mengambil kesempatan ini menziarahi pusara mereka dengan Al-Fatihah sebagai sedekah dari seorang cucu. Ternyata hati saya sebak sekali. Malah hampir menitiskan airmata melihat dua pusara yang saling bersebelahan. Terasa kesal di hati kerana ketika saya akhirnya dapat menjejakkan kaki di sana, mereka sudah tiada. Sedangkan ketika mereka masih hidup, mereka sering bertanya bila hendak pulang ke kampung. Sebab arwah nenek selalu percaya bila pulang ke kampung tentu lebih banyak perkara yang boleh saya tulis dalam novel-novel saya. Oh ya, arwah nenek gemar membaca dan juga fasih bertutur bahasa inggeris dan belanda. Malah, arwah juga menyimpan pelbagai koleksi buku termasuk buku-buku tulisan saya yang saya kirim khas melalui anaknya iaitu pakcik Eddy ketika beliau berkunjung ke KL. Ketika berada di sana, saya memang terasa ketiadaan mereka berdua. Bukan saya seorang, tetapi kami sekeluarga memang terasa kehilangannya.

Tentang perkara yang saya tahu sedikit tetapi tidak pernah ambil 'pot', adalah asal-usul kami sekeluarga dari sebelah arwah atok pula, bapa emak. Dari kecil, saya diberitahu yang arwah atok berketurun Bonjol Bugis. Setakat itu ajelah. Sebab kami lebih teruja dengan salasilah sebelah nenek apatah lagi saudara mara dari sana yang sering berkunjung ke sini. Namun, bila sampai di sana saya diberitahu oleh ibu bahawa kami sebenarnya dari keturunan Imam Bonjol.

Siapa Imam Bonjol? Haa..., akan saya ceritakan nanti jika masa mengizinkan, insyaAllah.

Wednesday, April 05, 2006

Gambar-gambar di Bukit Tinggi, Sumatera.

Hari pertama tiba di Bukit Tinggi sebelum meneruskan perjalanan ke Kumpulan/Lubuk Sikaping - tempat di mana kami bermalam.
Di belakang yang putih tu adalah Jam Gadang - the famous landmark di Bukit Tinggi. Di belakang sebelah kanan pula adalah Pasar Atas, tempat membeli belah terutama sekali bagi telekung sulaman. Saya yang duduk berbaju purple.



Saya bersama suami dan anak-anak bergambar di garisan Khatulistiwa (garisan warna putih) yang melintasi tanah Sumatera Barat. Panasnya waktu tu...., macam tengahari walaupun waktu itu lebih kurang pukul 10.30 pagi.
Garisan ini berada di hadapan Muzium Imam Bonjol.
Waktu ini kami dalam perjalanan kami ke rumah pengantin - hari ke dua keramaian.




Elissa Mutia (anak perempuan pakcik Eddy) bersama suaminya Yulianto Fajar Wahyudi.
Duduk dibawah adalah dua kanak-kanak perempuan yang memakai pakaian Minangkabau.


Saya bersama Tia.
Sempat saya bertanya pada dia, berat tak sanggul tu.
Katanya, berat sekali.
Panasnya jangan cakaplah.
Macam tu lah kalau dah jadi pengantin...., kenalah tahan.

Anak-anak berkesempatan menaiki bendi di hadapan penginapan kami sebelum ke majlis perkahwinan saudara kami di dewan - hari ke tiga keramaian. Saya pun sempat naik juga. Mak aaaii..., rasa macam nak jatuh jer bila duduk bahagian paling belakang.
Seriau rasanya....hehehe!

Sebaik tiba di dewan tempat majlis berlangsung - hari ke tiga keramaian.
Tempat ini adalah sebahagian dari kawasan pejabat Bupati. Bupati bermakna Ketua Daerah. Pakcik Eddy adalah Timbalan Bupati bagi daerah Lubuk Sikaping.

Persembahan tarian piring di dalam dewan.
Ketika selesai majlis, Umairah sempat mengambil piring kaca yang kebetulan tertinggal di belakang pentas dan menghentak-hentak kakinya, seolah meniru gaya penari-penari tersebut. Betapa mudahnya anak kecil mengajuk perbuatan seseorang. Uikksss...., bahaya betul!!!

Pengantin bersama ibubapa masing-masing di atas singghsana.
Walaupun mereka di atas pelamin yang dihiasi cantik, tetapi tiada menepung tawar seperti kita di sini.
Selesai makan, tetamu akan dibawa naik ke pentas dan bersalaman dengan pengantin dan ibubapa mereka bagi mengucap tahniah. Keluarga masing-masing juga akan diberi peluang untuk bergambar bersama pengantin.





Keluarga dari Malaysia bergambar dengan pengantin baru.
Saya dan suami paling hujung kanan.


Bas yang menjadi pengangkutan kami di sana yang disediakan oleh pakcik Eddy. Ada sebuah bas mini dan 2 buah 4WD untuk kegunaan kami yang seramai 8 buah keluarga itu. Kami sempat bergambar dengan pak supir-pak supirnya.
Waktu ni, kami berehat makan dalam perjalanan dari Bukit Tinggi ke Padang untuk bermalam di sana sebelum pulang ke KL keesokan paginya.

Bergambar bersama pakcik Eddy (yang berpeluk tubuh) di Lapangan Terbang Minangkabau, beberapa minit sebelum berlepas pulang ke KL setelah berada di Bukit Tinggi selama 5 hari 4 malam.
Saya berdiri dua dari kiri.

Al-Fatihah buat Allahyarham atok Hj Burhanuddin dan Allahyarhamah nenek Hajah Rosma.
Semoga roh mereka dicucuri rahmat....amin.

Sunday, April 02, 2006

Berakhirnya satu pesta....

Dah selesai Pesta Buku baru-baru ni.

Dah dapat apa yang diinginkan? Ataupun dah terlaksana apa yang kita rancangkan ketika berlangsung Pesta Buku tempohari?

Hmm...., ada dua perkara yang bersarang dalam hati saya. Yang terkilan, dan juga yang teruja.

Yang terkilan kerana saya tidak sempat meluangkan masa untuk menerawang ke satu gerai ke gerai yang lain kerana kesuntukan masa. Saya memang 'hantu' buku apatah lagi buku-buku cerita. Ketika pesta buku baru bermula, saya sudah mula merancang untuk membeli pelbagai buku anak-anak. Sudahnya, saya hanya sempat membeli buku-buku buat Sofi dan Umairah dan juga beberapa buah buku untuk saya tetapi tidak untuk Hisyam dan Syahmi. Lebih-lebih lagi buku-buku rujukan persekolahan mereka.

Yang terujanya pula kerana dapat berjumpa dengan pembaca-pembaca alaf, khususnya peminat saya yang sentiasa memberi dorongan dan semangat untuk saya untuk terus menulis. Walaupun begitu, saya amat gembira dan teruja kerana dapat menemui pembaca-pembaca setia saya. Terima kasih kerana sudi datang menemui saya dan juga membeli buku-buku saya. Kepada mereka yang tidak berkesempatan memiliki Cik Ted, saya meminta maaf banyak-banyak. Seperti yang saya nyatakan, Cik Ted adalah pemberian saya bersama buku Adam & Hawa. Jika saya menafikan apa yang telah saya nyatakan ini, bermakna saya tidak berlaku jujur pada pembaca-pembaca yang lain. Saya harap anda semua mengerti dan faham.

Pada mereka yang tinggal jauh dan tidak berkesempatan untuk bertemu, saya titipkan doa agar kita diizinkan untuk bertemu di tahun hadapan, insyaAllah.

Semoga kita bertemu lagi di Pesta Buku akan datang......