Thursday, April 06, 2006

Rombongan Cik Kiah ke Bukit Tinggi.

Cik Kiah buat rombongan ke Bukit Tinggi???

Taklah. Bukan Cik Kiah yang pergi. Tetapi rombongan ke Bukit Tinggi memang ada.

Pada 17hb Mac baru-baru ni, saya berkesempatan berkunjung pulang ke 'kampung' saya di Bukit Tinggi, Sumatera Barat bersama 19 lagi ahli keluarga yang lain. Pemergian saya bersama suami, anak-anak, ibu dan ahli keluarga yang lain cukup bermakna. Pemergian kami ke sana sebenarnya bukan untuk bercuti tetapi lebih kepada menghadiri majlis perkahwinan saudara, anak kepada sepupu ibu, yang saya panggil pakcik Eddy. Sejak dulu lagi saya sering merancang hendak pulang, namun ada sahaja aral yang melintang. Dari arwah atok dan nenek saudara masih hidup sehinggalah mereka tiada, baru kini saya dapat menjejakkan diri pulang ke Kumpulan, sebuah daerah di Bukit Tinggi...., asal-usul keluarga saya sebelah mak ibu iaitu nenek saya sendiri.Oh ya, saya memang orang Minangkabau, dari daerah Kumpulan kaum Piliang. Kalau ikutkan cerita ibu, moyangnya merajuk dengan suaminya lantas membawa diri lari ke sini dengan menaiki sampan meredah Selat Melaka keseorangan ketika sedang berbadan dua. (Ketika mendengar, saya membayangkan diri jika saya yang mendayung sampan keseorangan..., alamak! Tak ada jerung ke? Hehehe!). Hasil dari pemergian saya ke sana, ada perkara yang saya tahu sedikit menjadikan lebih mengerti dengan mendalam. Dan juga perkara-perkara yang tak pernah tahu kini sudah tahu bila bertemu dengan sanak-saudara. Aduh...., memang pening kepala untuk memahami salasilah keluarga saya yang berasal dari sana. Namun, yang nyata, bila berada di kampung dan di kelilingi oleh mereka yang berasal dari 'induk' yang sama iaitu Mohd. Syarif Tuanku Sutan, ada sesuatu yang membuatkan terasa dekat di hati. Sukar hendak diungkapkan, mungkin juga inilah tanah nenek moyang kami yang sememangnya berasal dari sini. Sanak saudara dan keluarga begitu ramah dan tidak pernah penat melayani kedatangan kami dan sentiasa mesra dengan kami semua. Malah, ke mana-mana sahaja kami pergi, terasa saudara mara ada di mana-mana sahaja. Ketika badan diserang rashes pada hari pertama di sana, saya dan suami pergi ke rumah sakit dan kebetulan doktor yang merawat saya adalah saudara kami yang saya sendiri tidak pernah kenali iaitu Dr. Rubiyat Prohoemen. Mungkin kami pernah berjumpa satu ketika dulu ketika bapanya bertugas sebagai doktor pakar di HKL. Waktu itu saya berumur 5 tahun, malah nenek Rebeka iaitu ibu pada Dr. Rubi pernah melukis gambar-gambar itik untuk saya. (Oh! Kenangan saya bersama nenek Rebeka dan gambar itik yang dilukis untuk saya ketika saya masih kecil begitu segar dalam kotak ingatan saya sehingga kini).

Selama dua hari berada di sana, barulah kami berkesempatan ke rumah adik atok yang saya panggil atok Ali. Rumah atok Ali memang nyaman suasananya. Di belakang rumahnya ada air sungai yang mengalir deras dari bukit. Di sanalah kali pertama kami menatap gambar Bulan. Bukan bulan yang di langit itu, tetapi Bulan; moyang kepada saudara yang sedang bersanding waktu itu. Bulan adalah anak saudara kepada Bangso, moyang ibu yang melarikan diri ke sini yang saya ceritakan sebentar tadi. Bangso jugalah isteri kepada Mohd. Syarif Tuanku Sutan, 'induk' yg nyata bagi ranji kaum Piliang di bawah payung 'Dato Bandaro Sati'.

Kemudian kami sekeluarga dibawa ke rumah arwah nenek dan atok sedara..., nenek dan atok yang tidak pernah lekang dari ingatan saya apatah lagi setiapkali mereka berdua datang mengunjungi kami di sini, arwah sering menyuruh saya supaya pulang ke kampung di Kumpulan. Pusara mereka berdua ada di belakang rumah mereka sahaja. Saya mengambil kesempatan ini menziarahi pusara mereka dengan Al-Fatihah sebagai sedekah dari seorang cucu. Ternyata hati saya sebak sekali. Malah hampir menitiskan airmata melihat dua pusara yang saling bersebelahan. Terasa kesal di hati kerana ketika saya akhirnya dapat menjejakkan kaki di sana, mereka sudah tiada. Sedangkan ketika mereka masih hidup, mereka sering bertanya bila hendak pulang ke kampung. Sebab arwah nenek selalu percaya bila pulang ke kampung tentu lebih banyak perkara yang boleh saya tulis dalam novel-novel saya. Oh ya, arwah nenek gemar membaca dan juga fasih bertutur bahasa inggeris dan belanda. Malah, arwah juga menyimpan pelbagai koleksi buku termasuk buku-buku tulisan saya yang saya kirim khas melalui anaknya iaitu pakcik Eddy ketika beliau berkunjung ke KL. Ketika berada di sana, saya memang terasa ketiadaan mereka berdua. Bukan saya seorang, tetapi kami sekeluarga memang terasa kehilangannya.

Tentang perkara yang saya tahu sedikit tetapi tidak pernah ambil 'pot', adalah asal-usul kami sekeluarga dari sebelah arwah atok pula, bapa emak. Dari kecil, saya diberitahu yang arwah atok berketurun Bonjol Bugis. Setakat itu ajelah. Sebab kami lebih teruja dengan salasilah sebelah nenek apatah lagi saudara mara dari sana yang sering berkunjung ke sini. Namun, bila sampai di sana saya diberitahu oleh ibu bahawa kami sebenarnya dari keturunan Imam Bonjol.

Siapa Imam Bonjol? Haa..., akan saya ceritakan nanti jika masa mengizinkan, insyaAllah.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home