Monday, May 08, 2006

Hati seorang ibu.....

Hisyam kena chicken pox dua minggu yang lalu. Dua hari sebelum neneknya berangkat menunaikan umrah. Mula-mula, saya dan suami ingatkan sekadar rashes saja di badannya. Maklumlah, anak-anak. Katil bujangnya bagaikan tempat serbaguna. Di situlah tempat membaca, di situ juga tempat bermain. Bila dah dijadikan tempat tidur acara pijak memijak, hmmm..., memang mianglah jadinya. Dia mula mengadu badannnya gatal-gatal. Saya tegur sikapnya yang jarang ambil pot dengan apa yang saya sering leterkan tentang biliknya itu. Tapi hati ibu, dalam keadaan marah dan penat, saya tukar juga alas tempat tidurnya walaupun baru dua hari yang lalu saya mengganti cadar yang baru.

Tapi, bintik-bintik di badannya semakin menjadi-jadi. Malah terus menjalar hingga ke muka. Sehinggalah di saat kami semua meninggalkan neneknya di KLIA pada petang Rabu dua minggu yang lepas, saya sudah mula terfikir sesuatu yang lebih dari sekadar rashes sahaja. "Baik abang bawa Hisyam pergi jumpa doktor," gesa saya pada suami lewat petang itu sekembalinya kami dari airport. Satu jam kemudian, suami dan Hisyam pulang. Sah! Hisyam kena chicken pox! Aduhai. Waktu ibu tiada, di situlah penyakit yang mudah berjangkit ini datang menjengah. Hisyam kena kuarantin. Dia tidur keseorangan sahaja di dalam bilik. Syahmi terpaksa tidur dengan kami termasuk Sofiya dan Umairah.

8 hari Hisyam tidak ke sekolah. Relaks bukan main lagi dia tu. Dari pagi hingga ke malam asyik di depan tv. Bila saya tegur tentang sikapnya yang seakan lupa dengan pelajaran, dia pun ambil juga sebuah buku tetapi sekadar dikepitnya dicelah ketiak atau diletakkan di sebelahnya sahaja. Bila mulut saya membebel kembali, cepat-cepat dia mengambil buku itu lalu diselaknya. Tapi itu semua lakunan yang tidak sampai 5 minit pun. Hilang kelibat saya di matanya kerana sibuk menguruskan kerja-kerja rumah yang lain, matanya cepat sahaja beralih ke peti tv. Aduhai...., meletihkan betul melihat perangainya. 6 hari sebelum neneknya pulang, Hisyam kembali ke sekolah.

2 hari sebelum neneknya pulang dari Mekah, anak saya yang nombor dua itu pula mengadu tentang badannya. "Ma, kenapa badan Syahmi bintik-bintik ni? Nak dapat chicken pox jugak ke?" Aduhai lagi. Tapi dengan dia, kena main politik sikit. Kalau dia tengok abangnya tak pergi sekolah sehari dua, dia juga akan tuntut untuk tidak ke sekolah seperti abangnya. Jadi saya kata, peperiksaan dah nak dekat. Jadual tak dapat lagi. Adik (saya membahasakan dirinya adik) kena pergi sekolah juga, kata saya. Dia turut kata-kata saya dengan tidak banyak soal. Namun bila dia pulang dari sekolah, dia terus berbaring dan tidur di ruang tamu rumah. Dia seperti kesejukan, namun tidak pula demam. Ketika itu, mukanya mula timbul bintik-bintik merah. Hari yang sama, anak buah saya yang sebaya dengan Hisyam juga mula timbul dengan bintik-bintik merah ini. Sebaik suami pulang dari membawa mereka berjumpa doktor, tak perlu lagi suami memberitahu saya. Senyuman sinisnya sahaja sudah memperlihatkan jawapan.

Kini, sudah 6 hari ibu saya pulang dari Mekah. Chicken pox Syahmi dan juga anak buah semakin surut. Namun, sewaktu chicken pox mula menjalar di seluruh tubuh badan mereka dengan bonjolan kecil yang amat gatal, Sofiya pula kena. Rasa seksa betul saya dengan penyakit ini. Dari satu ke satu tubuh dihinggapnya, tak kasi peluang langsung untuk berehat. Anak gadis saya itu serasanya yang paling teruk sekali. Setiap ruang ada sahaja bintik merah. Malah turut hinggap ke mukanya. Saya paling kasihan dengan dia. Sudahlah kulitnya putih cerah, bila ditumbuhi dengan bintik-bintik merah yang lama-kelamaan meninggalkan bekas, saya bertambah kasihan dengannya. Iyelah..., dia bersekolah. Takut pula dia rasa rendah diri dengan dirinya yang bagaikan ditumbuhi polka dot di muka, tangan dan kaki. Kalau di badan, jangan cakaplah. Nak tergelak pun ada! Setiap kali dia melihat wajahnya di cermin, mesti dia bertanya dengan ibu saya, "nek, macamana kita nak pergi jenjalan ni? Muka Pia kena chicken 'chop'!"

Sekarang ni, yang terakhir terkena dengan penyakit chicken pox ni ialah Umairah. Ketika saya menulis coretan ini, tubuh badannya sedang 'heavy' dengan bintik-bintik mengandungi cecair putih jernih. Kata ibu, itulah yang membuatkan dirinya asyik menggaru kerana rasa gatal yang teramat. Dia juga demam. Puas dipujuk supaya jangan digaru, dia tetap lebih sedap menggaru. Bingung saya dibuatnya. Suami sudah mula jadi dukun tak bertauliah sekejap tadi. Sambil menggunakan daun bambu/semambu, dia mengenakan seluruh tubuh Umairah dengan sedikit bacaan ayat suci. Tapi si kecil tetap rasa tidak selesa. Resah bukan main. Sukar untuk dia tidur dengan rasa gatal yang tiada henti walaupun ubat doktor sudah dijamah. Ketika saya menulis, jam sudah menunjukkan hampir ke pukul 1 pagi. Dia tertidur akhirnya, mungkin keletihan asyik merengek. Melihat wajahnya itu yang ditepek dengan ubat seperti bedak sejuk, perasaan kasihan yang tidak terkira meragut perasaan ini. Saya rela menanggung penyakit tersebut dari membiarkan mereka resah dan gelisah setiap waktu. Biarlah saya yang ditumbuhi dengan 'polka dot' di muka, dari membiarkan mereka menanggung rasa sakit dan rendah diri (yang mungkin terjadi jika dia kembali ke sekolah nanti) sementelaah menunggu parut hilang dengan sendirinya. Saya ingin beri mereka yang terbaik dan bergembira setiap waktu, biarpun ketika bersama keluarga dan juga kawan-kawan di sekolah. Itulah hati seorang ibu, sanggup menanggung kesakitan yang mereka tanggung. Segala-galanya sanggup demi anak-anak.....

Untuk para ibu dan juga bakal ibu tidak lama lagi....Selamat Menyambut Hari Ibu.

3 Comments:

Blogger Unknown said...

assalamualaikum kak aisya....tersentuh hati saya bila membaca luahan hati kak aisya..baru saya faham erti pengorbanan seorang ibu..memang benarlah kata-kata himat bahawa syurga itu dibawah tapak kaki ibu....Saya nak ucapkan selanat hari ibu kak aisya...

4:17 AM  
Blogger Aisya Sofea said...

w'salam huda. selamat hari ibu... kdgkala mmg penat melayan kerenah anak, apatah lagi sesuatu yg tidak mampu kita atasi utk mereka. mcm yg terjadi pd anak2x kak aisya baru2x ni. yg sudah pandai menguruskan diri, senang hendak diatur. cakap sikit, mrk dah tentu mengerti. tapi bila terkena pd sikecil, pasti masaalah. tidur berdokong pun tak tidur2x juga. pujuk dah tak makan lagi. apa lagi yg boleh kita sbg ibu lakukan? waktu begitu serasakan diri begitu lemah dan tidak mampu utk berbuat apa-apa utk mereka.... tapi skrg, alhamdulillah. umairah dah beransur baik walaupun bintik merah itu masih kelihatan lagi. i'Allah, dlm 2-3 hari, baiklah demam campaknya tu.

5:33 AM  
Blogger afrina said...

hye kak aisya sofia..a'kum...
sy br lg kt sni..sy br tau yg akak ade blog..tsentuh ati sy bla bc luahan hati seorg ibu..kadang2 kte sbg anak t'lpe dgn penuh kasih syg seorg ibu m'besrkn kte..ape2 pn sy doakn akak sntiase bjy...sy mint sume novel2 akak..blh dktekn sume cite akak best giler..hehehe..tiap kali kuar je novel br akak sy akn g bli..selg ada dia dh ade dlm koleksi sy..sume novel akak sy wt koleksi ksygn..nk simpn utk ank cucu...hehehehe..novel2 akak mmg best ble bc novel trsa cm realiti n yg pling pnting bc novel ni blh dpt bnyk ilmu yg kte xtau..tahniah utk akak..xsbr nk tggu novel yg br lg..hehehe..moga akak trus bjy...

10:23 PM  

Post a Comment

<< Home