Wednesday, October 18, 2006

September 06....Yang Istimewa

Maaf kerana terlambat mengirim berita. Seperti yang diketahui, saya baru sahaja melahirkan anak saya yang ke lima baru-baru ini. Saya agak sibuk sejak akhir-akhir ini ditambah pula dengan line internet saya yang semacam semput..., sekejap okey, sekejap tak okey. Bila okey, idea tak datang dan mood pun tak ada. Bila tak okey, tak sabar-sabar pula nak update cerita terbaru tentang saya, apatah lagi dengan kehadiran buku dan baby baru ni.

Macamana dengan buku saya yang terbaru Buatmu Kekasih? Menepati citarasa anda semua ke? Ada yang memberitahu, tak puashati sebab jalan ceritanya pendek sahaja. Ada juga yang puashati kerana dapat mengetahui kehidupan mereka selepas saya menamatkan cerita mereka yang pertama dahulu. Apa-apa pun, itu semua sambutan dari pembaca saya yang mengikuti jalan cerita mereka yang terdahulu lantaran terus menginginkan cara mereka menjalani kehidupan mereka kini. Bagaimana terujanya saya dengan Zainal dan Kay, begitu juga pada mereka yang ghairah dengan Ahmad Fuad dan juga pasangan Fikri dan Ika. Sememangnya Buatmu Kekasih ditujukan pada pembaca-pembaca setia saya yang tidak putus-putus mengirim khabar berita pada saya dan juga memberi semangat pada saya untuk terus menulis. Begitu juga dengan keluarga, sahabat handai, saudara mara yang tersayang. Dan tepat seminggu selepas kelahiran Buatmu Kekasih, saya juga telah selamat melahirkan anak lelaki saya yang ke tiga di Pantai Medical Centre.




Inilah wajah-wajah anak saya yang baru dilahirkan 22 hari yang lalu. Wan Muhammad Firdaus namanya setelah genap 14 hari 'bertungkus-lumus' memikirkan nama yang sesuai untuknya. Jangka kelahirannya pada 3 Oktober, tetapi saya meminta doktor dipercepatkan kelahirannya...., kerana saya dah tak larat nak bawa perut yang membesar ni...hehehe! Doktor pun kata okey, jadi kami teruskan saja dengan proses kelahiran Firdaus secara induce. Saya dah biasa dengan induce, sebab sebelum ini pun kelahiran Sofi dan Umairah juga secara induce, dan pada bulan Ramadhan juga. Sebenarnya saya lebih selesa dan lebih yakin dengan proses kelahiran secara induce sebab saya rasa biarpun sakitnya itu tidak seperti mereka melahirkan secara normal, tetapi kesakitan yang ditanggung tidak berpanjangan. Orang kata, bila start sakit, sakitnya memang kaw-kaw. Tapi sekejap saja. Firdaus lahir hari Rabu, 4 Ramadhan bersamaan 27 September 06 pada pukul 4.19 petang. Kelahirannya agak sedikit payah dibandingkan dengan abang-abang dan kakak-kakaknya. Mungkin disebabkan talipusat terlilit di leher/muka ditambah pula dengan beratnya 3.6kg. Aduhai, rasa payah juga nak melahirkan Firdaus. Namun alhamdulillah, segala-galanya selamat, malah Doktor Hamid Arshat juga rasa 'terkejut' kerana jangkaannya saya melahirkan Firdaus sekitar waktu Maghrib. Dia sempat bergurau dengan saya awal pagi itu. Katanya..., "minta-minta cepatlah you bersalin supaya dapat saya berbuka di rumah." (Dia juga pernah terkagum kerana ketika saya melahirkan Umairah, dia menjangkakan saya bakal melahirkan selepas Asar, sedangkan Umairah lahir belumpun masuk waktu Zohor).Untuk mereka yang ternanti-nantikan gambar baby baru saya itu, saya pastekan gambar Firdaus yang terbaru. Anak kecil saya ini kuaaaaaaaaat menyusu. Dah sendawa pun, masih lagi nak isi tangki perut yang dah penuh tu. Dengan mamanya, dia kenal source makanannya. Tapi dengan abahnya, pandai pula dia diam. Abang-abang dan kakak-kakaknya memang tak henti-henti mencium si adik, seringkali mengganggu tidur dia. Apatah lagi Umairah, ketibaan Firdaus memang sesuatu yang dinantikan. Tidak dapat mencium pipi Firdaus, dapat cium kaki, baju atau selimut yang membaluti Firdaus pun jadilah. Malah dialah 'kakak' yang boleh saya harapkan. Hatta suruh buang pampers Firdaus pun, dia sanggup. Tiada rasa geli atau jijik. Kasih sayangnya pada Firdaus begitu terserlah biarpun umurnya belumpun menjangkau tiga tahun.

Memandangkan hari raya yang tidak berapa lama lagi, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin. Pada mereka yang sudi menghantar kad Hari Raya pada saya, terima kasih banyak-banyak saya ucapkan. Maaf kerana tidak sempat membalas kad-kad ucapan tersebut kerana kesibukan saya dengan anak-anak dan juga menyambut kelahiran Firdaus baru-baru ini. Namun saya amat menghargai dan rasa sungguh gembira setiapkali menerima kad-kad ucapan dari mereka yang bersusah payah menghantarnya kepada saya. Semoga Hari Raya yang bakal tiba akan disinari dengan cahaya keimanan dan ketaqwaan untuk kita semua.

Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin dari saya; Aisya Sofea dan keluarga.....