Sunday, May 21, 2006

All In

All In?

Kenapa tak All Out? Hehehe..., bukannya apa. Itu sekadar satu tajuk drama korea yang paling saya minati selain dari Winter Sonata yang menjadi kegilaan orangramai satu ketika dulu. Ingatkan nak letak soundtrack Winter Sonata, tapi dah biasa pula. Puas saya dok mencari lagu ni untuk ditepek pada blog saya. Jenuh jugaklah sebab kurang popular kalau nak dibandingkan dengan Winter Sonata. Lagu-lagu sentimental apatah lagi lagu seperti ini, kalau didengar terutama larut malam, memang mampu buat perasaan saya melankolik sekejap. Kalau dengar ketika menulis, lagi best!

Sepatutnya drama All In (lakunan Lee Byung Hyun dan Song Hye Gyo) ini disiarkan di NTV7 pada 11 Mei lepas. Tapi punyalah frust sebab yang keluar drama Biscuit Teacher (apa punya tajuk daaaa...!!). Peliknya, saya ada vcd drama All In ni sebagai koleksi kesukaan saya, tapi masih frust juga bila tak jadi siar kat tv. Nak tahu siapa penyanyi lagu ini? Nama penyanyinya Park Yong Ha. Tak kenal? Kalau sekadar nama dibaca begitu, tentu tak kenal. Tapi kalau Sang Hyuk dalam drama Winter Sonata, kenal tak? Alaaa...., Sang Hyuk tu kan lelaki yang cuba nak rampas Yu Jin dari tangan Jun Sang?

dari kiri...CheaLin, SangHyuk, JunSang, YuJin.

p/s: jangan tanya apa maksud senikata lagu ini sebab saya sendiri tak tahu. Tapi bak kata orang, just enjoy and feel the music! Thanks to Huda for the link. Dik, best giler website tu...!!!!

Saturday, May 13, 2006

Boringnya hari ni.....

Ntah kenapa, hari ni punyalah boring yang amat....

Nak ajak suami keluar, tapi dia dah ke tempat kerja. Bukan tak boleh dia nak pergi lewat sikit pun. Maklumlah, dia kerja sendiri. Tapi rasa bersalah juga nak suruh dia pergi lewat atau tak pergi langsung ke tempat kerja. Masa ibu mengerjakan umrah, dia kerap ke tempat kerja selepas pukul 11.

Saya sudah berjanji dengan Umairah (lebih pada diri sendiri sebenarnya) untuk membelikan cradle untuk mainan anak patungnya. Umairah ni suka sangat main dengan anak patung, tak macam kakaknya yang lebih suka dengan buku-buku. Sudah berbulan berjanji, tapi belum ada kelapangan untuk ke Toys R Us tu. Bila saya minta suami hantar saya saja di MegaMall tak pula dikasinya. Kalau saya nak keluar, jangan harap pergi balik sendiri. Jalan sendiri pun dah tarik muka masam, apatah lagi kalau pandai-pandai nak jalan sendiri hatta dengan anak-anak sekalipun. Esok, katanya. Maknanya, esok ada harapan untuk saya keluar berjalan. Sebenarnya bukan saya nak shopping bagai, cuma sesekali nak juga 'luas'kan mata ni yang sepanjang minggu asyik terperap di rumah. Lagipun janji pada si cenonit tu tak pernah saya lupa. Di tv pulak cerita hindustan saat ni. Tengok jugalah sekejap. Tapi tang menyanyi bergelek sumer, apalagi....saya pun angkat kaki dan terus ke bilik. Saya rasa, saya dah cukup puas dengan cerita-cerita hindustan yang sebegitu walaupun adakalanya terlekat juga bila Kareena Kapoor atau Shah Rukh Khan yang berlakon...hehehe!

Aaah...., teringat call kak Wan semalam. Lebih baik mengadap depan pc dan menghabiskan manuskrip saya yang tak pernah nak habis-habis tu.....

Monday, May 08, 2006

Hati seorang ibu.....

Hisyam kena chicken pox dua minggu yang lalu. Dua hari sebelum neneknya berangkat menunaikan umrah. Mula-mula, saya dan suami ingatkan sekadar rashes saja di badannya. Maklumlah, anak-anak. Katil bujangnya bagaikan tempat serbaguna. Di situlah tempat membaca, di situ juga tempat bermain. Bila dah dijadikan tempat tidur acara pijak memijak, hmmm..., memang mianglah jadinya. Dia mula mengadu badannnya gatal-gatal. Saya tegur sikapnya yang jarang ambil pot dengan apa yang saya sering leterkan tentang biliknya itu. Tapi hati ibu, dalam keadaan marah dan penat, saya tukar juga alas tempat tidurnya walaupun baru dua hari yang lalu saya mengganti cadar yang baru.

Tapi, bintik-bintik di badannya semakin menjadi-jadi. Malah terus menjalar hingga ke muka. Sehinggalah di saat kami semua meninggalkan neneknya di KLIA pada petang Rabu dua minggu yang lepas, saya sudah mula terfikir sesuatu yang lebih dari sekadar rashes sahaja. "Baik abang bawa Hisyam pergi jumpa doktor," gesa saya pada suami lewat petang itu sekembalinya kami dari airport. Satu jam kemudian, suami dan Hisyam pulang. Sah! Hisyam kena chicken pox! Aduhai. Waktu ibu tiada, di situlah penyakit yang mudah berjangkit ini datang menjengah. Hisyam kena kuarantin. Dia tidur keseorangan sahaja di dalam bilik. Syahmi terpaksa tidur dengan kami termasuk Sofiya dan Umairah.

8 hari Hisyam tidak ke sekolah. Relaks bukan main lagi dia tu. Dari pagi hingga ke malam asyik di depan tv. Bila saya tegur tentang sikapnya yang seakan lupa dengan pelajaran, dia pun ambil juga sebuah buku tetapi sekadar dikepitnya dicelah ketiak atau diletakkan di sebelahnya sahaja. Bila mulut saya membebel kembali, cepat-cepat dia mengambil buku itu lalu diselaknya. Tapi itu semua lakunan yang tidak sampai 5 minit pun. Hilang kelibat saya di matanya kerana sibuk menguruskan kerja-kerja rumah yang lain, matanya cepat sahaja beralih ke peti tv. Aduhai...., meletihkan betul melihat perangainya. 6 hari sebelum neneknya pulang, Hisyam kembali ke sekolah.

2 hari sebelum neneknya pulang dari Mekah, anak saya yang nombor dua itu pula mengadu tentang badannya. "Ma, kenapa badan Syahmi bintik-bintik ni? Nak dapat chicken pox jugak ke?" Aduhai lagi. Tapi dengan dia, kena main politik sikit. Kalau dia tengok abangnya tak pergi sekolah sehari dua, dia juga akan tuntut untuk tidak ke sekolah seperti abangnya. Jadi saya kata, peperiksaan dah nak dekat. Jadual tak dapat lagi. Adik (saya membahasakan dirinya adik) kena pergi sekolah juga, kata saya. Dia turut kata-kata saya dengan tidak banyak soal. Namun bila dia pulang dari sekolah, dia terus berbaring dan tidur di ruang tamu rumah. Dia seperti kesejukan, namun tidak pula demam. Ketika itu, mukanya mula timbul bintik-bintik merah. Hari yang sama, anak buah saya yang sebaya dengan Hisyam juga mula timbul dengan bintik-bintik merah ini. Sebaik suami pulang dari membawa mereka berjumpa doktor, tak perlu lagi suami memberitahu saya. Senyuman sinisnya sahaja sudah memperlihatkan jawapan.

Kini, sudah 6 hari ibu saya pulang dari Mekah. Chicken pox Syahmi dan juga anak buah semakin surut. Namun, sewaktu chicken pox mula menjalar di seluruh tubuh badan mereka dengan bonjolan kecil yang amat gatal, Sofiya pula kena. Rasa seksa betul saya dengan penyakit ini. Dari satu ke satu tubuh dihinggapnya, tak kasi peluang langsung untuk berehat. Anak gadis saya itu serasanya yang paling teruk sekali. Setiap ruang ada sahaja bintik merah. Malah turut hinggap ke mukanya. Saya paling kasihan dengan dia. Sudahlah kulitnya putih cerah, bila ditumbuhi dengan bintik-bintik merah yang lama-kelamaan meninggalkan bekas, saya bertambah kasihan dengannya. Iyelah..., dia bersekolah. Takut pula dia rasa rendah diri dengan dirinya yang bagaikan ditumbuhi polka dot di muka, tangan dan kaki. Kalau di badan, jangan cakaplah. Nak tergelak pun ada! Setiap kali dia melihat wajahnya di cermin, mesti dia bertanya dengan ibu saya, "nek, macamana kita nak pergi jenjalan ni? Muka Pia kena chicken 'chop'!"

Sekarang ni, yang terakhir terkena dengan penyakit chicken pox ni ialah Umairah. Ketika saya menulis coretan ini, tubuh badannya sedang 'heavy' dengan bintik-bintik mengandungi cecair putih jernih. Kata ibu, itulah yang membuatkan dirinya asyik menggaru kerana rasa gatal yang teramat. Dia juga demam. Puas dipujuk supaya jangan digaru, dia tetap lebih sedap menggaru. Bingung saya dibuatnya. Suami sudah mula jadi dukun tak bertauliah sekejap tadi. Sambil menggunakan daun bambu/semambu, dia mengenakan seluruh tubuh Umairah dengan sedikit bacaan ayat suci. Tapi si kecil tetap rasa tidak selesa. Resah bukan main. Sukar untuk dia tidur dengan rasa gatal yang tiada henti walaupun ubat doktor sudah dijamah. Ketika saya menulis, jam sudah menunjukkan hampir ke pukul 1 pagi. Dia tertidur akhirnya, mungkin keletihan asyik merengek. Melihat wajahnya itu yang ditepek dengan ubat seperti bedak sejuk, perasaan kasihan yang tidak terkira meragut perasaan ini. Saya rela menanggung penyakit tersebut dari membiarkan mereka resah dan gelisah setiap waktu. Biarlah saya yang ditumbuhi dengan 'polka dot' di muka, dari membiarkan mereka menanggung rasa sakit dan rendah diri (yang mungkin terjadi jika dia kembali ke sekolah nanti) sementelaah menunggu parut hilang dengan sendirinya. Saya ingin beri mereka yang terbaik dan bergembira setiap waktu, biarpun ketika bersama keluarga dan juga kawan-kawan di sekolah. Itulah hati seorang ibu, sanggup menanggung kesakitan yang mereka tanggung. Segala-galanya sanggup demi anak-anak.....

Untuk para ibu dan juga bakal ibu tidak lama lagi....Selamat Menyambut Hari Ibu.