Sunday, March 04, 2007

Korea Oh Winter Sonata.....

Salam untuk semua.

Annyonghaseyo, gamsahamnida, olmaeyo, gakkajuseyo....

Begitulah antara kata-kata ataupun perkataan yang sempat saya pelajari ketika bercuti ke Korea baru-baru ini. Seronoknya tidak dapat digambarkan kerana sudah lama saya mengimpikan hendak ke Korea. Semuanya gara-gara Winter Sonata...., Bae Yong Jun dan Choi Ji Woo. Merekalah yang membuka hati ini untuk ke sana, padahal kalau nak diikutkan banyak lagi negara-negara yang lebih menarik untuk dilawati. Saya pergi ditemani oleh seorang saudara saya dan juga teman-teman dan sahabat handai yang telah saya kenali beberapa tahun lalu. Bayangkanlah, yang pergi rata-rata sudah cukup masak dengan drama-drama Korea di tv. Tak cukup di tv, beli pula di kedai-kedai sehingga tourist guide kami cukup kagum dengan pengetahuan kami yg luas tentang bintang-bintang drama mereka.

Hari pertama menjejakkan diri di tanah kelahiran Bae Yong Jun dan Choi Jiwoo, saya begitu teruja sekali. Tapi bercampur aduk kerana teringatkan Firdaus. Setiap kali terfikirkan anak-anak terutama baby Firdaus, saya rasa rindu sekali. Tapi membayangkan percutian ini sebagai satu perkara yang harus saya tempuhi walau macamana sukar sekalipun, saya terpaksa pendamkan rasa rindu itu. Dahlah pulak tu, handphone saya tidak boleh pakai sepanjang berada di sana. Kami di bawa ke MBC Studio ke tempat penggambaran Jewel of the Palace. Dan selepas itu tempat yang saya idam-idamkan selama ini iaitu Nami Island, pulau romantik Winter Sonata. Aduhhhh...., memang saya tak ingat dunia waktu ni. Saya rasa sungguh seronok dan teruja sekali akhirnya impian saya untuk berada di deretan pokok-pokok menjadi kenyataan. Apatah lagi bila dengan kawan-kawan yang sama-sama meminati drama tersebut, apalagi...., beraksilah kami dengan ala-ala dua pelakun yang menjadi kegemaran saya itu. Di sini saya juga mengambil kesempatan membeli berbagai cenderahati Winter Sonata. Bergambar dengan replika dan gambar Bae Yong Jun...., jangan cakaplah. Selagi ada gambar beliau, kami pasti abadikan dalam kamera kami.

Nasib baik Wan Mustafa tak marah.....hehehe!!!

Hari kedua kami bermain ski. Adui...., tak ke kelakar emak budak main ski. Memang cukup kelakar betul tapi mampu juga meluncur tanpa jatuh jauh sekali luka atau patah tulang badan. Satu jam bagaikan seksaan untuk saya. Bermainnya agak mudah, tapi bermain dengan kasut berat dan keras tu...., rasanya cukuplah sekali saya main seumur hidup saya. Tak larat nak memakai dan membuka kasut ala-ala robotik tu. Selama sejam bermain ski, kami membeli belah pula di Namdaemun Market. Keadaan di sini seperti berada di Petaling Street tapi 5-6 kali lebih besar. Bayangkanlah dengan manusia ketika itu yang rupanya mengambil peluang untuk membeli belah di saat esoknya adalah hari cuti umum mereka. Punyalah ramai. Mujur saya tidak tersesat waktu itu. Saya sempat beli beg untuk emak dan baju winter untuknya. Murah jer..., tapi cantik.

Kemudian hari ketiga kami ke Everland Theme Park, lebih kurang macam Genting Highland, tapi di sini lebih happening giler. Saya cukup seronok, sebab macam-macam saya beli untuk anak-anak. Saya taklah ghairah sangat nak bermain permainan roller coaster, corkskrew atau apa-apa pun tapi terkejut pula bila mendapat markah tertinggi ketika bermain di Mystery Mansion. Hehehe...., boleh tahan gak! Dari Everland, kami dibawa membeli belah di Dongdaemun Market pula, syurga membeli belah sekurang-kurangnya untuk diri saya. Banyak barang saya borong di sini, terutama sekali untuk anak-anak dan anak-anak buah yang lain. Untuk diri saya....handbag saja. Itulah satu-satunya barang yang saya beli untuk diri saya. Itupun secara tak sengaja. Saya ni memang jenis tak pandai tawar menawar. Tapi bila dari 55k won dapat 40k won dengan aksi hentak-hentak kaki ala Junsang/Minhyung dalam Winter Sonata, saya terkedu. Tak sangka harga yang saya tawar menjadi. Apalagi, bukak purse, ambil 4 keping not 10k won dan handbag tersebut menjadi milik saya.

Hari ke empat, kami di bawa ke Itaewon...., satu-satunya masjid di Seoul. Tapi di Itaewon sempat lagi membeli t-shirt untuk suami dan anak-anak. T-shirt untuk saya, tak ada. Memang saya kurang fikir tentang diri saya kalau saya seorang yang pergi berjalan. Lainlah ketika saya ke Beijing dahulu ditemani oleh makcik saya...., tengok dia membeli untuk dirinya, saya beli untuk diri saya juga. Harga sini mahal sedikit antara 1k - 2k won dari Namdaemun Market. Tapi coraknya lebih menarik dan banyak pilihan.

Hari terakhir kami berangkat pulang, sempat singgah di souvenir shop. Aduhai, mahal sungguh. Tapi beli sedikit kacang untuk dibawa pulang. Kami sampai di Incheon International Airport lebih kurang pukul 12.39tgh. Mungkin ada hikmahnya kami sampai awal sebab terlalu ketat kawalan keselamatan pihak airport sehingga ada di kalangan kami yang terpaksa melalui proses check-in selama dua kali kerana ragu-ragu terhadap barang keperluan peribadi mereka seperti losyen, alat-alat solek dan pelbagai lagi yang bagi mereka lebih dari biasa. Alhamdulillah..., lepas juga akhirnya bila peralatan mereka tersebut lebih selamat disimpan dalam beg bagasi mereka. Penerbangan dari Incheon ke KLIA mengambil masa lebih kurang 6 jam dan bersyukur kami disajikan dengan nasi beriyani, lauk ayam dan ikan di dalam kapalterbang setelah 5 hari asyik mengadap kimchi, sayur rebus dan ikan bilis goreng. Hari pertama rasa 'thrill' dengan makanan tersebut. Tapi kalau dah lima hari kami disajikan dengan hidangan yang lebih kurang sama saja....., tekak pun rasa semacam biarpun hanya melihat makanan tersebut atas meja.

All in all, saya rasa puashati dengan percutian kali ini biarpun tidak dapat bershopping sakan seperti ketika bercuti di Beijing dahulu. Annyonghaseyo..., semoga kita bertemu lagi dan Gamsahamnida buat teman-temanku yang menjadikan percutian ini sungguh menarik dan seronok sekali.

Sehingga kita berjumpa lagi di trip yang akan datang....., annyong!!!!

Tuesday, February 06, 2007

Alahai anak mama......

Dah lama saya tak mengupdatekan story kat blog saya. Tak ada cerita sebenarnya. Kalau ada pun, ini cerita hal anak-beranak terutama anak-anak yang menakal dan sedang membesar. Kalau saya bercerita pasal kerenah anak-anak, takut ada yang tak suka. Tapi tak apalah. Ini 'rumah' saya. Dah tentu saya boleh design rumah saya macamana saya mahu, iye tak? Lurus ke, senget ke, upside down ke....hehehe. Ianya tetap home sweet home!

Baiklah kali ni saya nak cerita pasal kepelatan Umairah yang tiada tandingannya dibandingkan dengan abang-abang dan kakaknya.

Satu malam, saya sekeluarga menerima kunjungan dari keluarga pakcik dan keluarganya yang duduk di Klang. Isterinya (makcik sayalah) adalah seorang guru tadika. Dia cukup pandai melayan anak-anak saya terutama sekali Sofi dan Umairah kerana mereka berdua ini sahajalah yang belum pun masuk ke alam persekolahan yang sebenarnya. Tiap kali dia datang, makcik saya ni bijak 'tackle' anak-anak saya. Dalam handbagnya ada saja gula-gula, cokelat atau wafer. Ketika dia datang berkunjung, kebetulan Sofi dan Umairah baru sahaja menyimpan buku warna mereka. Jadi untuk menunjuk buku tersebut kepada nenek saudara mereka tu, Umairah datang ke arah saya ketika saya sedang menidurkan Firdaus. Tanya Umairah...., "ma, aner Min (dia membahasakan dirinya Min) nyer butu taye?"

Saya terpinga-pinga sebentar. Soalannya saya ulang semula. Beberapa kali saya bertanya, dan beberapa kali juga dia mengulanginya...., perkataan dan ayat yang sama juga.

BUTU TAYE?????

Fikir punya fikir...., laaaaaa!!!! Saya mengucap panjang. Buku kaler. Saya simpan ketawa saya sekejap, takut dia kecil hati. Jadi sebaik mengetahui maksudnya, saya pun berlakunlah dengan dia. "Ooooohhhhh!!! Butu taye. Nanti mama ambik." Saat itu, rasanya nak pecah dada saya cuba menyembunyikan tawa saya tuh.

Selama ini saya tak terfikir tentang 'butu taye', tetapi saya tahu dia memanggil kakaknya 'tatak', kasut jadi 'tatut'. Sebutan 's'nya kadang-kadang menjadi, kadang-kadang tidak. Itu sebab bila kasut jadi 'tatut' ditambah pula dengan keadaan waktu itu yang hendak ke kedai atau pun bermain di perkarangan rumah, jadi sebutan 'tatut' tidak sukar untuk saya memahaminya. Tapi bila buku kaler jadi 'butu taye'....., di saat saya sedang menidurkan Firdaus dan dia pula sedang memegang pensil, saya tidak mampu menangkap maksudnya. Umairah mungkin tahu saya tidak faham apa yang dituturkannya, sebab itu dia mengaksi cara melukis.

Selepas kejadian 'butu taye', Umairah makin popular dengan kepelatannya di antara mama, abah dan neneknya. Ketika di suatu minggu di saat saya dan suami hendak keluar rumah ke Sogo, Umairah dengan girangnya bertanya pada saya, "ma, Min nak patai tatut te, ciper te?" Saya jawab, "kasut". Neneknya (mama saya) ketawa kecil memandang saya. Kata dia, "pandai Jua paham cakap anak tu." Saya tersenyum saja.

Sedangkan abahnya kadangkala garu kepala nak memahamkan ayat Umairah. Hai....kalau tak maknya sendiri yang boleh faham, siapa lagi kan?

Wednesday, November 29, 2006

Sebelum dan Selepas .....

5 minit sebelum......jeng jeng jeng!!!!





















Selepas sejam kemudian.....amacam? macho tak???


Friday, November 17, 2006

Ya Marhaban....Wan Muhammad Firdaus!

Tak sangka pula ada problem bila nak paste gambar lebih-lebih sikit untuk tatapan mereka yang rajin singgah di sini untuk berita terbaru saya. Sebenarnya dah lama saya paste gambar-gambar ini tapi hanya simpan sebagai 'draft' sahaja. Baru sekarang saya lepaskan, itupun dah lama menggodek blogspot ni kot ada cara tertentu yang boleh saya paste macam-macam gambar di sini. Bila tak mendatangkan hasil, malas dah nak simpan as 'draft'.

Gambar-gambar ini adalah sedikit dari kenangan hari langsungnya majlis cukur jambul Firdaus di rumah. Kumpulan marhaban yang dijemput adalah kumpulan Marhaban Islah dar Sungai Besi di mana ketua kumpulan tersebut adalah sifu pada kumpulan marhaban ibu saya. Anak-anak yang lain semua dimarhabankan (ada ke perkataan nih?) oleh kumpulan marhaban ibu saya, cuma Firdaus sahaja sengaja saya jemput kumpulan marhaban lelaki. Lain dari yang lain sikit....

Firdaus sebelum majlis tu, asyik resah. Merengek sahaja. Tapi bila abahnya mula mendukung dan dimarhabankan, terus diam tapi tak pulak lena nak tidur ke. Di sini saya paste sedikit gambar-gambar Firdaus sebelum dan sewaktu majlis tersebut. Gambar selepas majlis dengan fesyen terbaru Firdaus akan saya paste selepas ini.







Kumpulan Marhaban Islah Sg Besi sedang membaca doa selamat.










Atok Teh tengah menepung tawar 'pengantin' sebelum mencukur jambul.








Abah mendukung 'pengantin' sementara abang Hisyam dengan abang Syahmi mengiringi membawa peralatan dan hadiah.












Firdaus bersiap sedia dengan jubah dan kopiah sebelum upacara cukur jambul.
















Baby Firdaus.....


















Lagi baby Firdaus.
Wan Timah kata..., "baby cina mana yang sesat ni?"
















Malam sebelum cukur jambul.


















Menangis sebab semua orang sibuk, tak layan dia.....

Wednesday, October 18, 2006

September 06....Yang Istimewa

Maaf kerana terlambat mengirim berita. Seperti yang diketahui, saya baru sahaja melahirkan anak saya yang ke lima baru-baru ini. Saya agak sibuk sejak akhir-akhir ini ditambah pula dengan line internet saya yang semacam semput..., sekejap okey, sekejap tak okey. Bila okey, idea tak datang dan mood pun tak ada. Bila tak okey, tak sabar-sabar pula nak update cerita terbaru tentang saya, apatah lagi dengan kehadiran buku dan baby baru ni.

Macamana dengan buku saya yang terbaru Buatmu Kekasih? Menepati citarasa anda semua ke? Ada yang memberitahu, tak puashati sebab jalan ceritanya pendek sahaja. Ada juga yang puashati kerana dapat mengetahui kehidupan mereka selepas saya menamatkan cerita mereka yang pertama dahulu. Apa-apa pun, itu semua sambutan dari pembaca saya yang mengikuti jalan cerita mereka yang terdahulu lantaran terus menginginkan cara mereka menjalani kehidupan mereka kini. Bagaimana terujanya saya dengan Zainal dan Kay, begitu juga pada mereka yang ghairah dengan Ahmad Fuad dan juga pasangan Fikri dan Ika. Sememangnya Buatmu Kekasih ditujukan pada pembaca-pembaca setia saya yang tidak putus-putus mengirim khabar berita pada saya dan juga memberi semangat pada saya untuk terus menulis. Begitu juga dengan keluarga, sahabat handai, saudara mara yang tersayang. Dan tepat seminggu selepas kelahiran Buatmu Kekasih, saya juga telah selamat melahirkan anak lelaki saya yang ke tiga di Pantai Medical Centre.




Inilah wajah-wajah anak saya yang baru dilahirkan 22 hari yang lalu. Wan Muhammad Firdaus namanya setelah genap 14 hari 'bertungkus-lumus' memikirkan nama yang sesuai untuknya. Jangka kelahirannya pada 3 Oktober, tetapi saya meminta doktor dipercepatkan kelahirannya...., kerana saya dah tak larat nak bawa perut yang membesar ni...hehehe! Doktor pun kata okey, jadi kami teruskan saja dengan proses kelahiran Firdaus secara induce. Saya dah biasa dengan induce, sebab sebelum ini pun kelahiran Sofi dan Umairah juga secara induce, dan pada bulan Ramadhan juga. Sebenarnya saya lebih selesa dan lebih yakin dengan proses kelahiran secara induce sebab saya rasa biarpun sakitnya itu tidak seperti mereka melahirkan secara normal, tetapi kesakitan yang ditanggung tidak berpanjangan. Orang kata, bila start sakit, sakitnya memang kaw-kaw. Tapi sekejap saja. Firdaus lahir hari Rabu, 4 Ramadhan bersamaan 27 September 06 pada pukul 4.19 petang. Kelahirannya agak sedikit payah dibandingkan dengan abang-abang dan kakak-kakaknya. Mungkin disebabkan talipusat terlilit di leher/muka ditambah pula dengan beratnya 3.6kg. Aduhai, rasa payah juga nak melahirkan Firdaus. Namun alhamdulillah, segala-galanya selamat, malah Doktor Hamid Arshat juga rasa 'terkejut' kerana jangkaannya saya melahirkan Firdaus sekitar waktu Maghrib. Dia sempat bergurau dengan saya awal pagi itu. Katanya..., "minta-minta cepatlah you bersalin supaya dapat saya berbuka di rumah." (Dia juga pernah terkagum kerana ketika saya melahirkan Umairah, dia menjangkakan saya bakal melahirkan selepas Asar, sedangkan Umairah lahir belumpun masuk waktu Zohor).Untuk mereka yang ternanti-nantikan gambar baby baru saya itu, saya pastekan gambar Firdaus yang terbaru. Anak kecil saya ini kuaaaaaaaaat menyusu. Dah sendawa pun, masih lagi nak isi tangki perut yang dah penuh tu. Dengan mamanya, dia kenal source makanannya. Tapi dengan abahnya, pandai pula dia diam. Abang-abang dan kakak-kakaknya memang tak henti-henti mencium si adik, seringkali mengganggu tidur dia. Apatah lagi Umairah, ketibaan Firdaus memang sesuatu yang dinantikan. Tidak dapat mencium pipi Firdaus, dapat cium kaki, baju atau selimut yang membaluti Firdaus pun jadilah. Malah dialah 'kakak' yang boleh saya harapkan. Hatta suruh buang pampers Firdaus pun, dia sanggup. Tiada rasa geli atau jijik. Kasih sayangnya pada Firdaus begitu terserlah biarpun umurnya belumpun menjangkau tiga tahun.

Memandangkan hari raya yang tidak berapa lama lagi, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin. Pada mereka yang sudi menghantar kad Hari Raya pada saya, terima kasih banyak-banyak saya ucapkan. Maaf kerana tidak sempat membalas kad-kad ucapan tersebut kerana kesibukan saya dengan anak-anak dan juga menyambut kelahiran Firdaus baru-baru ini. Namun saya amat menghargai dan rasa sungguh gembira setiapkali menerima kad-kad ucapan dari mereka yang bersusah payah menghantarnya kepada saya. Semoga Hari Raya yang bakal tiba akan disinari dengan cahaya keimanan dan ketaqwaan untuk kita semua.

Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin dari saya; Aisya Sofea dan keluarga.....

Wednesday, September 06, 2006

Gambar-gambar di sekitar birthday Daniel










Birthday boy Muhammad Daniel Hadif
*** muka masam sebab kena kejut dari tidur.










Birthday boy potong kek dengan mummy!









Sofi & Umairah sibuk dgn permainan yang ada.
Mama dia sibuk cari makan masa nih.....






Sofi & Umairah dengan nenek dan nek Ngah.

Thursday, August 31, 2006

Birthday Daniel

Assalamualaikum semua!

Dah lama rasanya saya tak meng'update'kan cerita dengan berita semasa. Dua bulan, kan? Lama benar tu. Dalam tempoh itu, saya sebenarnya sibuk dengan persiapan buku terbaru saya ditambah dengan keadaan diri saya yang sedang sarat...adehhh!!! Itu yang tak boleh nak ke sana ke mari. Nak shopping pun, kena fikir dua kali. Kalau tak, maunya troli yang ditolak suami penuh dengan badan saya saja...hehehe! Tapi shopping tetap shopping maklumlah sekarang ni tengah bulan sale. Cuma tak boleh nak dari satu shopping mall ke satu shopping mall. Minggu lepas ada yang menegur, perut macam tunggu masa nak bersalin, rupanya masih ada sebulan lebih. "Besar betul!" ujar pakcik saudara. Mungkin dia 'terkagum' melihat kandungan saya ini....(malunya saya!!!)

Tinggalkan diri saya sekejap. Saya ada satu cerita yang tak kurang menariknya. Ini mengenai harijadi pertama anak buah saya Muhammad Daniel Hadif baru-baru ini. Ibu Daniel; sepupu saya meraikan ulangtahun anaknya yang pertama itu secara besar-besaran. Memang ramai jemputan yang hadir. Tapi yang kelakarnya, jemputan datang kerana birthday boy tapi birthday boy tidur pulak....adehhhh! Kesian, penat agaknya. Yang lebih kelakar, masa itulah betapa nyenyak Daniel tidur tengahari itu, sehinggakan terpaksa dibangunkan oleh mummynya. Kesian betul, terkulat-kulat member bila dikejutkan tatkala sedang nyenyak tidur...., hairan agaknya melihat kenapa ramai orang kat rumah. Tapi sambutan harijadi Daniel memang meriah sangat. Di suatu ruang dalam rumah, terdapat pelbagai mainan yang dikhaskan untuk anak-anak kecil bermain tatkala ibubapa menjamu selera. Belon-belon berwarna-warni menambah keceriaan untuk anak-anak kecil. Saya pulak, tak lepas dari menjamu selera, apatah lagi adanya char kue teow yang dimasak 'on the spot'. Berselera betul. Anak-anak saya, terutama Sofiya dan Umairah memang tak lekang dari tempat permainan yang dikhaskan. Anak-anak lelaki saya pula, di meja penyambut tetamu. Menghulurkan party pack kepada anak-anak kecil yang hadir. Kalau perkahwinan Siti dan Datuk K boleh diklasifikasikan sebagai Wedding of The Year, sambutan birthday Daniel pulak Birthday Party of The Year.

Apalagi yang boleh saya katakan lagi, memang party tersebut sungguh meriah dan menyeronokkan. Sedangkan saya sebagai ibu begitu enjoy dengan party Daniel, apatah lagi kanak-kanak.